Di adaptasikan dari:
Sinar Harian.
SHAH ALAM - Pas tidak boleh menutup terus pintu kepada ruang perbincangan dengan mana-mana pihak termasuk UMNO kerana ia bercanggah dengan perintah Allah, kata Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
“Jangan tutup pintu langsung kerana ia bercanggah dengan perintah Allah Taala,” katanya pada ucapan penangguhan Muktamar Tahunan Pas kali ke-55 di Stadium Malawati, di sini, semalam.
Beliau berkata, walaupun Pas tidak mahu menumpang bahtera Barisan Nasional (BN) atau bahtera-bahtera orang lain, Pas perlu mengadakan persefahaman dengan pelbagai pihak berhubung isu-isu tertentu.
“Kita wajib menyelamatkan orang lain yang tenggelam dengan kejahilan atau yang tidak tahu menyelamatkan diri ketika menghadapi sesuatu krisis,” katanya.
Abdul Hadi berkata, anggota dan barisan kepimpinan Pas perlu tahu membezakan jenis musuh yang mereka hadapi.
“Musuh ada dua jenis iaitu musuh sebenar dan musuh yang direka dan dicipta. Jangan kita habiskan masa menghadapi musuh yang
direka dan dicipta sehingga melupakan musuh sebenar kita. Ada juga yang bermusuh dengan kita sebab mereka tidak faham,” katanya.
Justeru, katanya, Pas mesti bertemu dengan semua pihak dan tidak boleh sekadar mengedar risalah berkaitan perjuangan parti itu.
Islam juga, katanya, mengutamakan perdamaian memandangkan matlamatnya adalah untuk menyelamatkan umat manusia walaupun dibenar berperang jika langsung tidak diberi ruang kerana Allah sesekali tidak mengizinkan umat Islam menyerah kalah.
Bagaimanapun, Abdul Hadi berkata untuk melakukan perkara ini memerlukan kesabaran dan pengorbanan yang sangat besar.
“Ini hanya boleh dilakukan orang yang besar jiwanya saja,” katanya.
Muktamar Pas kali ini juga, katanya, membuka ruang kepada media supaya mereka boleh melihat sendiri suasana dan apa yang berlaku dalam parti itu dan menyalurkannya kepada masyarakat.
How to Expand Your Business with UCaaS
3 years ago


No comments:
Post a Comment