Pemuda UMNO Subang
June 2, 2009
SURAT #1 - JAIS gagal pantau masjid
SEJAK akhir-akhir ini institusi masjid di dalam negeri Selangor dilihat telah sering disalah gunakan oleh pihak-pihak tertentu tanpa ada langsung pemantauan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS). Pentadbiran JAIS dilihat langsung tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap pihak-pihak tertentu yang telah menyalah gunakan institusi masjid. Fungsi masjid sebagai tempat memupuk keharmonian masyarakat kita khususnya umat Islam telah dicemari oleh puak-puak yang begitu rakus menggunakan masjid demi kepentingan politik golongan tertentu, malahan juga untuk kepentingan peribadi.
Penceramah yang berceramah, malah berkhutbah Jumaat, tanpa ada tauliah JAIS dibiarkan menggunakan mimbar masjid untuk menyerang pihak yang tidak sehaluan dengan mereka. Kutuk, keji dan sindiran tajam telah menjadi ayat lazim di sesetengah masjid di dalam negeri Selangor tanpa ada pemantauan JAIS.
Sebagai contoh di Masjid Subang Perdana dalam Daerah Petaling, pengurusan masjid begitu ghairah mengadakan ceramah hampir setiap malam dengan penceramah yang dijemput khas dari luar negeri Selangor.
Hampir setiap malam ceramah bermula sebaik sahaja habis solat Maghrib dan berlanjutan sehingga 30 minit setelah masuk waktu solat Isyak.
Apa yang menyedihkan ialah disebabkan keghairahan penceramah, mereka lupa waktu solat Isyak telah pun tiba dan azan daripada surau-surau dan masjid yang berdekatan tidak langsung dihormati!
Pernah berlaku di masjid yang berhampiran, bilal masjid (sekarang bekas) telah dengan nekad tanpa mempedulikan penceramah yang sedang ghairah berceramah dengan campuran isu politik, terus beliau ke mimbar masjid dan melaungkan azan solat Isyak.
Harap bijak pandai di JAIS beri maklum balas apakah hukumnya kita tidak menghormati azan solat dan telah masuk waktu solat?
Pengurusan masjid perlu bersifat lebih terbuka dan tidak membenarkan diri mereka dipengaruhi oleh mana-mana fahaman politik. Begitu juga dengan pihak JAIS. Anda semua di JAIS dibayar gaji oleh rakyat yang membayar cukai dan zakat.
Tunaikanlah tanggungjawab anda semua. Kalau berlaku perkara-perkara yang boleh menyebabkan perpecahan masyarakat Islam kita di masjid kenapa pihak tuan-tuan semua memejamkan mata tanpa ada apa-apa tindakan?
Adakah benar di JAIS sekarang ini ada jawatan lantikan politik yang memantau kepentingan Pakatan Rakyat di setiap masjid dalam Negeri Selangor? Atau Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor sendiri perlu memberi jawapan?
Bila aduan dibuat kepada pihak JAIS jawapan yang sering diterima ialah kami akan siasat. Siasat sampai bila? Di Masjid Subang Perdana tidak lama dulu pernah dibuat pengumuman oleh salah seorang AJK masjid meminta para jemaah solat Jumaat sama-sama mengisi tabung yang telah disediakan di dalam masjid bagi menampung perbelanjaan jentera Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil Bukit Gantang. Perkara ini telah dikemukakan kepada pihak JAIS tetapi langsung tiada tindakan.
Pihak JAIS perlu lebih prihatin dengan perkara-perkara begini demi perpaduan masyarakat Islam kita. Masakan Datuk Dr. Hassan Ali selaku Exco yang bertanggungjawab mengenai agama Islam mahu masyarakat Islam kita berpecah-belah? Dr. Nasir, ADUN Kota Damansara harap jenguk-jenguklah masjid dan surau dalam kawasan YB.
Hentikanlah ceramah-ceramah yang tidak berbentuk ilmiah. Pupuklah perasaan persahabatan sesama Islam kepada pihak pengurusan masjid, khususnya kepada pentadbiran Masjid Subang Perdana sendiri, agar masjid dapat berfungsi sebagai satu institusi yang dihormati oleh semua pihak.
Institusi masjid perlu diawasi setiap masa agar bebas daripada mana-mana pengaruh kepartian. Bagi kami masjid bukanlah tempat yang sesuai untuk kita meraih undi.
Kepada pihak JAIS harap tunaikan janji tuan-tuan semua yang berjanji untuk memastikan ideologi politik mana-mana pihak tidak dibawa bersama ke dalam masjid. Itu janji tuan-tuan semua pada kami tempoh hari semasa pihak kami menyerahkan pentadbiran Masjid Subang Perdana di dalam Pejabat JAIS.
Malah janji itu diulang kembali di dalam Masjid Subang Perdana beberapa hari selepas itu. Sekarang, sila buktikan janji itu. Kami semua inginkan ketenangan bila beribadah di dalam masjid. Hentikan segera bibit-bibit yang boleh membawa perpecahan ummah.


No comments:
Post a Comment