Berniaga Bersama Ketua Pemuda UMNO Pinggiran Subang


Thursday, May 21, 2009

TANAH SIMPANAN MELAYU DIMASUKKAN DI BAWAH PERLINDUNGAN RAJA-RAJA MELAYU - CADANGAN PERKASA.

Pertubuhan Pribumi Melayu Malaysia (PERKASA) mencadangkan agar kedudukan tanah simpanan Melayu (TSM) dimasukkan di bawah perlindungan Raja-Raja Melayu melalui pindaan Perkara 159 fasal 5. Ini disebabkan keadaan tanah simpanan Melayu yang ada kini telah menghadapi keadaan yang suram, jumud dan ke arah penghapusan. Demikian kata Timbalan Presiden PERKASA Dato’ Fuad Hassan.



Fuad berkata demikian selepas diminta mengulas lanjut mengenai pandangan beliau mengenai tanah simpanan Melayu dalam wawancara program Sudut Pandangan melalui saluran Astro Awani pada 18 November lalu, pada jam 8.30 malam.

Beliau mencadangkan supaya ditubuhkan satu Suruhanjaya Tanah Simpanan Melayu di bawah perlindungan Yang Di Pertuan Agong melalui pindaan Perkara 159 fasal 5 bagi melindungi, mengawasi taraf dan kemajuan tanah-tanah simpanan Melayu di seluruh Negara. Ia bertujuan untuk mempastikan supaya kawasan yang di isytiharkan (digazetkan) sebagai simpanan Melayu kekal berada di tangan orang Melayu dengan memperuntukkan bahawa hanya boleh dipindahkan dan dimiliki oleh orang-orang Melayu.

Fuad menambah, “tiada satu agensi di peringkat kebangsaan yang mengambilberat secara serius tentang permasalahan yang berlaku di akar umbi. Malahan perlembagaan memperuntukkan bahawa “jumlah kawasan simpanan Melayu yang wujud hendaklah tidak melebihi jumlah kawasan yang disediakan untuk penggunaan umum” sudah cukup menunjukkan betapa defensifnya orang Melayu terhadap negaranya sendiri”.

“Sudah hampir berjuta ekar tanah-tanah simpanan Melayu di kawasan strategik yang telah ditukar syarat tetapi tidak diganti di negeri-negeri tertentu. Memang terdapat permainan “silap mata” yang lebih hebat dari David Coperfield bagi maksud keuntungan bagi kaum bangsawan dan tawkeh-tawkeh besar. Ini merupakan satu pencabulan dan pengkhianatan terang-terangan terhadap peruntukan hak keistimewaan Melayu dalam perlembagaan,” tegas Fuad.

“Sedang tanah simpanan Melayu berkurangan, tanah di kawasan kampong-kampong baru kaum Cina telah disambung dan ditambah tempoh pajakannya dari 40 tahun kepada 99 tahun, malah dalam kes negeri tertentu sehingga 999 tahun,” kesal beliau.

Menurut Fuad, “terdapat peruntukan di dalam perlembagaan yang membenarkan kerajaan negeri mengisytiharkan mana-mana tanah yang bukan kawasan simpanan Melayu diwujudkan sebagai tanah simpanan Melayu, tetapi pada hakikatnya ia tidak banyak berlaku dan jumlah kawasan Tanah simpanan Melayu tidak boleh melebihi jumlah kawasan yang disediakan untuk tujuan “general alienation”. Peruntukan inilah yang memungkinkan penghapusan terus tanah simpanan Melayu untuk generasi yang akan datang,” bimbang Fuad lagi.

“Apakah yang akan menentukan maruah sesuatu bangsa jika tidak tanah airnya sendiri dalam bentuk penguasaan terhadap tanah?,” tanyanya lagi. “Ini belum lagi kita membicarakan soal bagaimana untuk memajukan TSM serta sambutan daripada penghuninya. Demikian juga dengan tanah waqaf dan Baitul Maal,” Jelas beliau lagi.

“Kita sedar bahawa bidang kuasa tanah simpanan Melayu adalah di bawah tadbir kerajaan negeri, kecuali dalam negeri Penang dan Melaka. Namun tidak ada pengawasan dan perlindungan yang menyeluruh di seluruh Negara. Kemungkinan taraf Majlis Tanah Negara boleh di naikkan ke taraf suruhanjaya di raja”. Beliau mencadangkan.

Dengan cadangan ini, tambahnya, tanah-tanah Melayu akan terlindung dari bertukar tangan kepada kaum lain akibat daripada wujudnya peruntukan yang membolehkan pembatalan status TSM bagi maksud kepentingan umum seperti jalanraya atau sekolah, tetapi disalahgunakan untuk tujuan-tujuan yang lain.

“Banyak kes berlaku dimana pembatalan taraf tanah simpanan Melayu telah disalahgunakan dan terlepas ke tangan kaum lain untuk tujuan komersial atau pembangunan. Dengan kuasa perlindungan tersebut maka tanah simpanan Melayu akan terjamin dan tidak boleh tukar kepada kaum lain walaupun melalui keputusan 2/3 parlimen.” Yakin beliau.

Apa gunanya kita mempunyai bangunan-bangunan tinggi dan hebat di atas tanah yang bukan milik kita lagi, soalnya lagi.

Cadangan menubuhkan Suruhanjaya adalah hasil dari semangat Deklarasi PERKASA 16 November 2008 melalui Wacana Isu Hak-Hak Pribumi Dalam Perlembagaan, yang berlangsung di Memorial Tun Hussein Onn, Kuala Lumpur, pada 16 November lalu.

No comments:

Post a Comment